BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Dec 10, 2013

Sahabat

Kita dan mereka

Kita semua adalah makhluk Allah yang cukup istimewa. Ditakdirkan Allah mempunyai sifat dan kerenah yang pelbagai. Bergaul dengan masyarakat akan menemukan kita dengan ramai orang. Ada yang sekepala, ada pula yang sebaliknya. Ada yang kita boleh terima, ada yang kita rasa menyampah. Namun, satu perkara yang harus kita sedari, fitrah seorang manusia. Tiada yang hidupnya penuh dengan kebaikan tanpa sebarang cela. Tiada pula yang dapat lari dari membuat kesilapan. Bergaul dengan mereka memang menuntut kesabaran, lebih-lebih lagi mereka yang tidak sekepala dengan kita.

Hadis Ibn Umar R.A, “Seorang mukmin yang bergaul dengan orang ramai dan bersabar di atas kesakitan yang timbul akibat pergaulan itu, adalah lebih baik daripada mukmin yang tidak bercampur dengan orang ramai dan tidak sabar di atas kesakitan akibat pergaulan itu“(HR At-Tarmizi & Ibn Majah)

Kita rasa kita sudah cukup sabar dengan kerenah seseorang. Tapi pernahkah kita teliti, berapa ramai pula yang lagi banyak menahan sabar dengan kerenah kita?

Kita rasa kita sering mengalah dengan kawan-kawan. Tapi pernahkah kita mengambil tahu, berapa banyak yang kawan-kawan telah mengalah dengan kita?

Kita rasa diri dipergunakan bila seseorang hanya menggunakan kita untuk kepentingan dirinya sendiri. Kita hanya dicari sewaktu bermasalah sahaja. Tapi pernahkah kita mengira, berapa ramai yang telah kita ambil kesempatan terhadap kebaikan mereka?

Akhirnya, kita kembali kepada titik hakikat yang asal. Kita dan mereka sama sahaja. Masing-masing punya perangai dan sifat berbeza. Masing-masing susah untuk menerima sesuatu yang  berbeza dengan mereka. Maka, salah Allahkah pula yang mentakdirkan manusia bersifat demikian?

Seorang lelaki bertanya:“ Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mempunyai beberapa orang kerabat, yang hubungan aku erat dengan mereka tetapi mereka memutuskannya. Aku berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berperangai buruk kepadaku, aku bersabar mengahadapi sikap mereka itu tetapi mereka menganggap sikapku itu adalah bodoh.” Kemudian baginda menjawab,” Sekiranya benar sepertimana yang engkau katakan itu maka seolah-olah engkau menyuap mereka dengan abu yang panas, sedangkan engkau sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah Taala selama mana engkau berada di dalam kebenaran atas perkara yang demikian itu”.(HR Muslim)


Tips bersahabat
1. Hidupkan solat jemaah di rumah
Hanya dengan solat dan mendekatkan diri dengan Allah, kita dapat sama-sama merasa diri hamba dan mengurangkan sifat mementingkan diri sendiri. Sering kita memikirkan tentang diri dan kesenangan kita sahaja. Solat berjemaah banyak mengajar kita untuk patuh, kebersamaan dan persamaan taraf. Kita tak pernah lebih betuk dari sahabat kita. Kita tak pernah lebih baik dari teman serumah kita. Kita dan mereka bersujud bersama, semulia-mulia kepala kita dan mereka, akhirnya kita rendahkan sehingga kedudukannya lebih rendah dari punggung, mencium bumi yang sering kita pijak pula. Begitulah hinanya kita sebagai manusia, dan tingginya Allah SWT. Maka, secara tak langsung kita dapat mendidik hati untuk sentiasa meletakkan Allah sebagai neraca hidup kita.

2. Saling mendoakan
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:” Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga ia suka saudaranya mendapat (kebaikan seperti) apa yang ia sendiri suka mendapatnya.”(HR Bukhari&Muslim)

Setiap yang kita inginkan untuk diri kita, maka doakanlah hal yang sama untuk sahabat kita. Memang susah untuk kita doakan apabila kita sendiri seorang yang competitive, sentiasa ingin lebih dari orang lain. Tapi, sedarlah wahai diri dan rakan-rakan, takkan sempurna iman kita jika masih ada sekelumit perasaan itu dalam hati kita. Doakan sahaja kebaikan mereka, kerana para malaikat akan mendoakan hal yang sama juga untuk kita.

3. Siapa buat lebih, dia dapat lebih. Siapa sabar lebih, dia dapat lebih.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Bukankah aku telah memberitahu kamu semua tentang orang yang diharamkan masuk ke neraka atau orang yang diharamkan ke atasnya neraka? Mereka ialah orang yang berdamping rapat dengan orang ramai (baik pergaulannya), hatinya tenang, berlemah lembut serta mudah dibawa berunding.”(HR at-Tarmizi)

Rasulullah SAW sendiri suka dengan orang yang memudahkan dan menyenangkan orang lain utnuk bergaul dengannya. Tak perlu merasa diri dipergunakan, tak perlu merasa kebaikan kita tidak diendahkan dan dihargai. Kerna hakikatnya, semuanya antara ita dengan Allah. Siapa yang kemas rumah lebih, basuh pinggan lebih, buang sampah lebih, menyenangkan sahabat lebih, dialah yang akan menjadi kesayangan Allah. Dialah yang akan mendapat ganjaran yang lebih dari Allah SWT. Maka, marilah sama-sama, kita berkejar-kejar mendapatkan ganjaran yang lebih dari Allah SWT.

Wallahu’alam...~
nyum2.. nak makan ne lagi~



Sharing Is Caring ^_^

0 Cute Person Comments:

 
Copyright© All Rights Reserved eyenechocolicious.blogspot.com