BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Oct 13, 2013

Psikologi dan psikiatrik

KEMURUNGAN 

(MAJOR DEPRESSION)
Emosi
Tuhan telah menganugerahkan kita berbagai emosi ; gembira, susah hati, resah, tenang, cinta dan pelbagai lagi perasaan yang mewarnai hidup kita ini . Perasaan susah hati , gundah gulana, murung merupakan contoh emosi yang menggambarkan kesedihan.

Ia mempunyai spektrum daripada perasaan sedih yang tidak ketara kepada kesedihan yang melampau. Perasaan kita juga berubah-ubah dan berterusan dalam tempoh-tempoh tertentu. Si isteri mungkin merasa sedih selama dua atau tiga jam jika dimarahi suami dan kemudian gembira semula setelah keluar membeli-belah . Si isteri juga boleh merasa sedih sehingga berbulan-bulan jika kematian suami. Persoalannya, adakah semua perasaan sedih itu normal ?. Perlukah kita berjumpa doktor hanya kerana kita merasa sedih?.

Kemurungan (Major Depression)
Kemurungan atau depression adalah satu istilah perubatan yang menggambarkan perubahan emosi yang keterlaluan. Ia bukan lagi emosi normal tetapi suatu penyakit yang perlu dirawat.

Kenapa kemurungan perlu dirawat?
Kemurungan perlu dirawat kerana ia merupakan penyakit yang boleh merosakkan diri kita melalui pelbagai aspek. Penyakit kemurungan menyebabkan kita tidak dapat berfungsi dengan baik. Pesakit yang mengalami kemurungan tiada tenaga, tiada motivasi, sakit-sakit badan dan tidak bermaya untuk bekerja seperti biasa. Mereka akan ponteng bekerja, prestasi merosot dan menimbulkan masalah dengan majikan. Keluarga pesakit juga mendapat efek negatif kerana pesakit tidak lagi berfungsi sebagai suami , isteri atau ibubapa yang bertanggungjawab lagi Mereka tidak menjalankan tugas seharian dengan baik, hilang pertimbangan dan tiada kawalan diri.

Di peringkat yang teruk, pesakit mempunyai perasaan bersalah, tidak berguna dan akhirnya ingin membunuh diri. Psikosis juga boleh berlaku jika kemurungan tidak dirawat dengan segera.

Apakah tanda-tanda kemurungan?
Tanda-tanda utama kemurungan adalah perasaan sedih, tidak gembira atau tidak ceria yang berlarutan melebihi dua minggu. Perubahan biologi (seperti perubahan tidur, berat badan, selera makan , nafsu seks, tenaga dan sakit-sakit badan) dan perubahan kognitif ( seperti kurang tumpuan, mudah lupa, rasa bersalah, tiada keyakinan, putus harapan, rasa tidak berguna dan membunuh diri) juga boleh berlaku ( Rujuk gambarajah)


Terdapat juga pesakit yang mempunyai kemurungan atipikal. Kemurungan Atipikal (Atypical depression) adalah kemurungan yang berlaku dengan tanda-tanda yang luar daripada biasa seperti selera makan yang bertambah (pesakit yang terlalu stress makan banyak untuk hilangkan stress), berat badan akan bertambah (kerana makan dengan banyak) dan mereka juga banyak tidur. Ini berbeza daripada kemurungan biasa di mana pesakit tiada selera makan, berat badan menurun dan susah untuk tidur.
Bagi kanak-kanak dan orang tua pula, mereka mungkin mempunyai tanda-tanda kemurungan yang tidak ketara dan sukar dikesan kerana mereka mempunyai tanda-tanda yang berbeza yang dipanggil masked depression. Bagi kanak-kanak dan remaja kemurungan sukar dikesan kerana mereka mungkin mempunyai tanda-tanda seperti masalah tingkahlaku , sakit-sakit perut, histeria sebagai presentasi kemurungan. Bagi orang tua pula, kebanyakan mereka mempunyai masalah-masalah seperti gastritis, sakit kepala, sakit sendi, mudah lupa dan pseudodementia sebagai tanda kemurungan.
Siapakah yang berisiko untuk mendapat kemurungan?
Jantina: Kemurungan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tetapi lebih ramai wanita mengalami kemurungan berbanding lelaki . 15 - 25% kaum wanita boleh mendapat penyakit ini.
Umur: Purata pesakit berumur 40 tahun. 50% daripada mereka yang mengalami kemurungan berumur antara 20-50 tahun. Kemurungan juga boleh berlaku di kalangan kanak-kanak dan orang tua.
Taraf perkahwinan: Kemurungan lebih kerap berlaku di kalangan individu yang tiada pasangan hidup seperti duda, janda dan balu berbanding individu yang berkahwin.
Keluarga : Kemurungan adalah penyakit turun temurun. Jika anda mempunyai keluarga ( seperti ibu, bapa atau adik-beradik) yang mengalami penyakit ini, anda 2-3 kali lebih daripada orang lain untuk mendapat kemurungan
.
Apakah penyebab kemurungan?
Kemurungan disebabkan oleh interaksi faktor-faktor biopsikososial.
Di antara faktor psikososial kemurungan:
  • Masalah sosial seperti menjadi mangsa penganiayaan , penderaan fizikal atau seksual, kematian orang tersayang, putus cinta, kesempitan wang, gagal dalam pekerjaan, pelajaran dan lain-lain lagi. Masalah sosial ini mungkin telah lama dialami tetapi masih menjadi memori kepada pesakit dan boleh mencetus kemurungan.
  • Cara menyelesaikan masalah: Kemurungan lebih mudah berlaku di kalangan individu yang tidak tahu cara yang baik untuk menyelesaikan masalah. Individu yang mempunyai Coping Strategy dan problem solving technique yang betul dan produktif lebih mudah menangani masalah dan kurang risiko untuk murung.
  • Personaliti. Tiada satu personaliti tertentu yang menyebabkan individu mendapat kemurungan, tetapi terdapat individu yang mempunyai personaliti tertentu seperti terlalu obsessif ( terlalu teliti, bercita-cita tinggi dll), dependent ( bergantung kepada orang lain dan non assertive ( tidak mampu menegakkan hak sendiri) yang mudah mendapat kemurungan.
Diantara faktor biologi kemurungan:
  • Ketidakseimbangan neurotransmitter (seperti serotonin, noradrenalin, dopamin) dan reseptor ( seperti reseptor 5 HT2, ) yang penting dalan fungsi otak dan saraf
  • Ketidakseimbangan regulasi hormon seperti hormon kortisol dan tiroid
  • Patologi di otak seperti dilatasi ventrikel, patologi limbik sistem, prefrontal dan basal ganglia
  • Faktor genetik
  • Jangkitan virus di awal kelahiran atau di peringkat janin.
Bagaimana kemurungan di rawat?
Rawatan kemurungan adalah menyeluruh berdasarkan prinsip biopsikososial dan spiritual
Rawatan juga bergantung kepada keterukan (severity) penyakit ini.
Pesakit yang mengalami kemurungan serius
Pesakit yang mendapat kemurungan serius perlu dimasukkan ke hospital . Diantara tanda-tandanya:
  • merbahaya kepada diri sendiri ( cth: perasaan atau cubaan bunuh diri, tidak mahu makan dan minum sehingga kesihatan terjejas)
  • merbahaya kepada orang lain ( cth: perasaan benci keterlaluan sehingga berniat mencederakan atau membunuh orang lain)
  • mempunyai tanda-tanda psikosis yang keterlaluan
Ubat-ubatan:
  • Ubat antidepressant perlu untuk menangani kemurungan dan di beri sehingga pesakit benar-benar sembuh dan boleh berfungsi semula dengan baik
  • Ubat antianxiety perlu untuk menangani keresahan tetapi diberi untuk tempoh yang singkat
  • Ubat sleeping pill di beri jika perlu untuk memudahkan pesakit tidur dan rehat dengan cukup tetapi untuk tempoh yang singkat.
Rawatan Psikososial :
  • Berbincang cara penyelesaian masalah ( problem solving technique)
  • Berbincang cara meluahkan dan menangani kemarahan ( anger management)
  • Berbincang cara terbaik menangani stress ( stress management & coping skill)
  • Mendapat penjelasan tentang penyakit, rawatan dan komplikasi (Psychoeducation)
  • Perbincangan tentang menyelesaikan masalah kewangan dan masalah sosial lain melalui rujukan kepada agensi berkenaan
Psikoterapi ( RUJUK PSIKOTERAPI)- mengikut kesesuaian
  • Supportive psychotherapy
  • Cognitive Behavioural Therapy (CBT)
  • Interpersonal Psychotherapy (IPT)
  • Psychodynamic psychotherapy
  • Family therapy
  • Group Therapy
Pesakit yang mengalami kemurungan ringan dan mempunyai sokongan keluarga yang baik boleh memilih untuk bantuan psikososial dan psikoterapi sahaja.
Untuk pengetahuan lebih lanjut sila rujuk: Malaysian Psychiatric Association ( Practice Guideline ;Management of Major Depressive Disorder 2007)

p/s aku share articles ne sebab tiba2 aku rasa macam ada orang yang macam ini di kalangan aku.. bukan nak menghina tapi aku rasa dia memang macam itu dan dah ke arah itu.. Ya Allah andai dia sedang membaca articles ini, awak perlukan rawatan segera.. ~big sorry~ “Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman” - Surah Al-Imran Ayat 139


Sharing Is Caring ^_^

0 Cute Person Comments:

 
Copyright© All Rights Reserved eyenechocolicious.blogspot.com